Tuesday, September 28, 2010

Ed Husic angkat sumpah pegang al-quran..aku bangga!!!


SYDNEY: Wakil Muslim pertama dalam Parlimen Australia mengangkat sumpah semalam sambil memegang senaskhah al-Quran. Ed Husic, yang ibu bapanya adalah pendatang Bosnia, menganggap peluang untuk berkhidmat di Canberra sebagai ‘keistimewaan besar’ dan perkembangan unik dalam sejarah politik di Australia. “Berdasarkan latar belakang saya, sudah tentunya ada pihak akan berasa bangga atau gembira,” katanya kepada akhbar The Australian.
Husic, bekas pemimpin kesatuan sekerja membesar di kawasan barat Sydney yang diwakilinya, memperoleh kerusi dalam Dewan Perwakilan di Canberra, mewakili Parti Buruh dan menang dalam pilihan raya 21 Ogos lalu.
Beliau adalah antara ahli parlimen yang mengangkat sumpah pada sidang ke-43 parlimen oleh ketua hakim mahkamah tinggi di Canberra semalam.
Masyarakat Muslim mewakili 1.7 peratus daripada 22 juta jumlah penduduk yang sebahagian besarnya beragama Kristian.
Sementara itu, Parti Buruh pimpinan Julia Gillard hanya mempunyai majoriti satu kerusi saja ketika sesi parlimen itu bermula semalam, dan terpaksa memilih semula rakan dalam parti, Harry Jenkins sebagai speaker.

Gillard, Perdana Menteri wanita pertama di Australia, kini hanya mempunyai 75 undi dalam Dewan Perwakilan yang mempunyai 150 kerusi itu, berbanding 74 undi yang diperoleh pemimpin konservatif, Tony Abbott.

“Tempoh parlimen ini bukan peluang bagi bertanding semula seperti dalam pilihan raya, undi demi undi, rang undang-undang demi rang undang-undang,” kata Gillard.

“Ia adalah masa bagi mencapai kata sepakat, bukan konfrontasi.”

Namun, Abbott, yang kelihatan cuba mengambil kesempatan daripada kelemahan kerajaan, berikrar akan memastikan Gillard menunaikan janjinya dalam pilihan raya.

“Sebuah parlimen yang seimbang bukan alasan bagi kerajaan menjalankan tugasnya dan menunaikan janji pilihan raya,” kata Abbott, disambut dengan sorakan bergemuruh.

“Kami akan bertindak sebagai pembangkang yang akan memastikan kerajaan bertanggungjawab. Ia akan menjadi parlimen yang hangat dengan perbahasan.” – AFP 

sumber :- bharian 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails